KEWARTAWANAN DALAM TALIAN MEMPUNYAI KREDIBILITI YANG LEBIH RENDAH BERBANDING DENGAN AKHBAR ARUS PERDANA

Teknologi pada masa kini semakin pesat membangun dan semakin luas ruang lingkupnya. Kini semuanya boleh kita perolehi di hujung jari kita dengan mudah dan tidak perlu bersusah payah. Kemajuan dan kepesatan teknologi pada era moden ini sememangnya merupakan sesuatu yang baik dan menyumbang kepada kebaikan. Tetapi harus diingat setiap yang berlaku diatas muka bumi ini ada kebaikan dan keburukannya. Begitu juga dengan kepesatan teknologi pada masa kini terutamanya internet. Ya, 'INTERNET' satu perkataan yang semakin melekat dan wajib ada di dalam kamus hidup manusia pada zaman moden ini.

Seiring dengan perkembangan dan kemajuan internet, kewartawanan dalam talian turut menjadi satu medium yang semakin popular pada zaman moden dan pantas ini. Masyarakat boleh mendapat apa jua berita dan informasi yang mereka inginkan dengan cepat berbanding dengan media lama seperti surat khabar di mana mereka harus ke kedai untuk membeli dan mendapatkan berita. Tetapi, dengan wujudnya internet dan kewartawanan dalam talian, mereka hanya perlu menggerakkan anak panah di komputer dan menaip apa yang ingin mereka tahu dan dalam beberapa saat sahaja keputusan itu akan terpapar di skrin komputer. Mudah bukan? Bak kata orang, "petik jari sahaja".

Sejajar dengan kemajuan teknologi kini, wujudnya berita di atas talian di dalam laman sesawang, blog dan laman sosial seperti Facebook, Myspace dan Twitter. Kewartawanan di dalam talian dilihat memang mudah dan menjadikan ia sering mendapat perhatian. Tetapi malangnya kredibiliti kewartawanan di dalam talian sering diragui dan di persoalkan. Kredibiliti di dalam konteks ini memberi maksud kebolehan dan keupayaan kewartawanan dalam talian itu memberi dan menyebarkan berita dan maklumat secara tepat, jitu dan telus kepada masyarakat khususnya. Kredibiliti nya sering dibandingkan dengan kewartawanan di dalam arus perdana terutamanya surat khabar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star dan News Straits Time. Kredibiliti akhbar-akhbar tempatan ini lebih kuat dan dipercayai oleh masyarakat.

Antara salah satu faktor yang menyebabkan kewartawanan di dalam talian dikatakan rendah kredibilitinya adalah dari segi penulis itu sendiri. Jika dilihat di dalam akhbar-akhbar penulis atau nama professionalnya wartawan, adalah merupakan golongan daripada yang mempunyai latar belakang penulisan dan kewartawanan itu sendiri. Mereka mempunyai kepakaran dan sudah dilatih untuk menjadi penulis atau wartawan yang berkaliber. Mereka mempunyai sumber yang sahih di dalam menyampaikan berita dan maklumat kepada masyarakat. Sementara kewartawanan dalam talian membenarkan sesiapa sahaja untuk menyauarakan pendapat dan menyampaikan maklumat yang mereka tahu samada benar atau batil. Disinilah timbulnya konflik dan keraguan kepada pembaca-pembaca samada boleh dipercayai atau sebaliknya. Kebanyakkan berita dan informasi yang ada di atas talian dilihat lebih menjurus kepada pengaruh faktor emosi penulis itu sendiri berbanding dengan fakta berita itu sendiri. Tujuan utama mereka dapat dilihat adalah untuk membalas dendam dan meluahkan ketidakpuasan yang ada di dalam diri mereka sendiri. Sememangnya kredibiliti ini wajar dipersoalkan. Di mana kebenarannya? Di mana bukti kukuhnya? dan di mana sumbernya?

Contoh khusus yang boleh dicoretkan disini yang berkaitan dengan kredibiliti yang rendah oleh kewartawanan dalam talian ialah kes pembunuhan kejam Allahyarham adik Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun yang telah dilaporkan hilang ketika mengikut keluarganya ke pasar malam berhampiran dengan kediamannya, Wangsa Maju pada tahun 2007. Kes ini telah mendapat liputan yang meluas di seluruh negara dan ia sedikit sebanyak menggemparkan keadaan.
Misteri kehilangan akhirnya terjawab apabila mayatnya yang tidak berbaju dipercayai mangsa deraan seks, ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 September 2007 dan setelah ujian DNA  dijalankan, ia mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin Jazlin.Mangsa dibunuh 24 jam sebelum mayatnya ditemui dalam beg yang ditinggalkan di tangga premis perniagaan tiga tingkat di kawasan itu.Bedah siasat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan kanak-kanak itu, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria dan ini antara faktor yang menyumbang kepada kematiannya.

Timbulnya ketidakpuasan hati dikalangan masyarakat terutamanya ahli keluarga Allahyarham adalah apabila gambar mayat mangsa telah tersebar dengan meluas di dalam internet. Gambar-gambar bedah siasat itu seharusnya menjadi amanah kepada pihak yang bertangunggjawab untuk tidak disebarkan. Ini kerana ia telah mencalarkan maruah dan hati keluarga mangsa tersebut. Pihak yang tidak bertanggungjawab itu menyebarkan dan memaparkan gambar-gambar tersebut di dalam internet dengan tujuan untuk memberikan maklumat. Tetapi, tidak sedarkah mereka bahawa tindakan kurang bijak mereka telah membawa kepada sesuatu yang negatif? Mereka seharusnya berfikir terlebih dahulu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kewartawanan di dalam talian rendah kredibilitinya. Mereka menyebarkan sesuatu mengikut suka hati mereka sendiri tanpa menghiraukan hati dan perasaan masyarakat sekililing. Perkara ini seharusnya tidak terjadi. Kemajuan teknologi bukanlah lesen dan pasport untuk kita melakukan sewenang-wenangmya.

' Sensasi', itu adalah perkataan paling tepat yang boleh menggambarkan kewartawanan dalam talian. Mereka lebih menjurus kepada berita-berita yang sensasi. Malah berita yang kurang sensasi juga terkena tempiasnya apabila ia dibicarakan di dalam talian. Natijahnya, kepesatan teknologi pada masa kini haruslah digunakan dengan jalan yang betul dan jangan lah ia digunakan untuk sesuatu yang mengundang kontroversi dan akan memberi impak negatif.

No comments:

Post a Comment